Tersepit Basikal Sampai Nampak Tulang
Tersepit Basikal Sampai Nampak Tulang | Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam apabila tangan kanannya tersepit pada besi basikal ketika cuba membetulkan rantai kenderaan itu yang tercabut di Kampung Simpang Baba di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, tangan Mohd. Nur Iman Mohd. Zafri, 9, terperosok ke celah besi antara rim dan rantai basikal tersebut.
Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan dengan kulit terkoyak sehingga menampakkan tulang ketika cuba menarik keluar tangannya.
Bapanya, Mohd. Zafri Said, 38, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh seorang guru dari sebuah sekolah tahfiz yang ternampak Mohd. Nur Iman menahan kesakitan.
Menurutnya, pada mulanya dia terkejut dan menyangka anaknya dilanggar kenderaan lain kerana melihat guru itu cemas ketika datang ke rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.
"Anak saya tidak menangis, cuma sesekali dia mengerang menahan sakit dan saya cuba untuk mengeluarkan tangannya yang tersepit tetapi tidak berhasil," ceritanya ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini semalam.
Mohd. Zafri berkata, kerana terlalu bimbang keselamatan anaknya dia lantas menghubungi pihak bomba untuk membantu mengeluarkan tangan kanak-kanak itu.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Ismail Mahmod berkata, pihaknya terpaksa memotong besi basikal itu dan meregangnya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tangan mangsa.
"Usaha menyelamat itu mengambil masa kira-kira 15 minit dan dia kemudian dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi.
0 komentar:
Posting Komentar